Posted on November 5, 2010 by ekhutbah
الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ
صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai
hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 118 dan 119 surah Hud :
ولو شاء ربك لجعل الناس أمة واحدة ولايزالون مختلفين إلا من رحم ربك زلذلك خلقهم وتمت كلمة ربك لأملأن جهنم من الجنة والناس أجمعين
Maksudnya
: Sekiranya Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat
yang satu tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali
orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu dan untuk itulah Allah
menciptakan mereka. Kalimat (keputusan) Tuhanmu telah ditetapkan.
Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jin dan manusia
(yang derhaka) semuanya.
Kini
kita berada dipenghujung bulan Zulkaedah di mana kita akan menyambut
pula kedatangan bulan Zulhijjah di mana di dalamnya umat Islam akan
menyambut eidul Adha dan bagi mereka yang berada di Mekah pula, mereka
akan menunaikan ibadat haji. Berjuta umat Islam pada hari ini sedang
berada di Mekah dan ramai masih dalam perjalanan menuju ke Mekah untuk
menunaikan haji tanpa mengira bangsa dan negara, tanpa mengira harta
dan usia, tanpa mengira pangkat dan darjat. Mereka sama-sama mengadap
kiblat yang satu, mengelilingi Ka’bah yang satu, akan wukuf pada hari
Arafah di tempat yang satu, sama-sama memakai pakaian ihram dengan
warna yang satu. Ini menunjukkan kepada umat Islam bagaimana Islam
mementingkan kesatuan dan perpaduan tanpa mengira bangsa, negara,
budaya dan warna kulit. Ibadat haji memberi isyarat yang jelas
bagaimana Islam mahukan perpaduan dalam beribadat mesti diteruskan
kepada kehidupan seharian bagi memberikan kekuatan yang sebenar
berasaskan agama untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam
begitu menekankan perpaduan tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan
negara tetapi mesti berdasarkan Islam. Rasulullah s.a.w sendiri dalam
membina kekuatan dan perpaduan telah menolak jawatan raja Mekah yang
ditawarkan oleh kafir Quraisy kerana ia berbentuk bangsa semata-mata
sedangkan bangsa arab terus berpecah dan berkelahi sesama mereka walau
pun jumlah yang ramai. Rasulullah s.a.w sebagai nabi akhir zaman telah
dilahirkan dicelah bangsa arab yang tidak mampu membina kuasa dan
tamadun yang kuat kerana perasaan semangat kebangsaan arab yang kuat
sehingga mereka telah jauh ketinggalan oleh kuasa dan tamadun Empayar
Rom berasaskan kristian, Empayar Parsi berasaskan majusi dan kefahaman
yang lain disamping Empayar India berasaskan Hindu serta Empayar China
berdasarkan Budha. Rasulullah s.a.w terus berdakwah dan mencari
kekuatan melalui kuasa pemerintahan bagi memastikan Islam tersebar
sebagai agama yang bukan sahaja berasaskan ibadat khusus tetapi turut
meliputi seluruh aspek kehidupan. Strategi dan tindakan Rasulullah
s.a.w dalam membina negara yang kuat bagi melaksanakan seluruh sistem
Islam disamping menyebar luas lagi Islam sehingga meliputi negara luar
dari tanah arab melalui asas yang kuat iaitu Islam bukannya berteraskan
bangsa semata-mata. Islam yang dijadikan asas perpaduan oleh Rasulullah
s.a.w bukan sahaja mampu menyatukan perpaduan di kalangan bangsa arab
sehingga mereka boleh menguasai yahudi yang dahulunya menindas mereka
tetapi Islam juga mampu menyatukan semua bangsa seperti Bilal dari
Afrika, Suhaib dari Rom, Salman dari Parsi dan mereka yang lain dengan
bangsa arab. Asas Islam yang dibina juga mampu memberi semangat dan
kekuatan kepada Khalifah selepas Rasulullah s.a.w untuk menjalankan
dakwah dan penyebaran Islam serta perluasan tanah jajahan di bawah
Khalifah Islam sehingga Islam berjaya meruntuhkan Empayar Rom, Empayar
Parsi dan menguasai sebahagian bumi eropah dan seterusnya melebarkan
pengaruhnya sehingga menguasai Empayar India dan China.
Penguasaan ini membolehkan Islam tersebar merata dunia termasuk di alam
Melayu ini di mana orang Melayu sebelum ini bukan sahaja mampu
beribadat khusus sahaja tetapi turut merasakan keadilan dan keamanan di
bawah Kesultanan Melayu Islam yang telah melaksanakan sistem Islam
dalam pemerintahan mereka seperti terdapat dalam Undang-undang Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan sebagainya.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Ibnu
Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan
bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan
syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila
semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam
maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin
mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah
bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya
pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga segala
kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula
diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai
dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan
kepadanya di atas sebab tertentu. Disebabkan perasaan tamak terus
menguasai diri menyebabkan pemimpin itu mula memperkecilkan lagi
pembahagian hak dan kemewahan kepada keluarga terdekat dan mereka yang
menjadi pendokong kuat kepadanya walau pun bukan dari bangsanya.
Tindakannya ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam di kalangan
bangsanya sendiri terutama penyokongnya yang selama ini begitu setia
kepadanya akibat daripada kezaliman yang dilakukan. Apabila pemimpin
itu mula melihat adanya penentangan terhadapnya maka dia mula
menggunakan kekerasan dengan membina kekuatan tentera bagi melindungi
kuasanya serta sanggup mengambil tindakan yang keras termasuk membunuh
bagi mengurangkan jumlah penentangnya. Perpecahan semakin bertambah
disebabkan penindasan dan kezaliman yang dilakukan yang menyebabkan
sesuatu bangsa itu hancur dan bangsa yang lain samada dari dalam atau
luar negaranya mula mengambil kesempatan daripada perpecahan itu untuk
menguasai bangsa yang berpecah tadi.
Contohnya
apa yang berlaku kepada kerajaan bani Umaiyah yang berkuasa penuh untuk
menguasai semua bangsa arab melalui perasaan keturunan bani Abdul Manaf
tetapi masih berlandaskan Islam. Semangat kekitaan yang berdasarkan
bani Abdul Manaf itu adalah munasabah sehingga pemerintahan Sulaiman
bin Abdul Malik di Damsyik di mana baginda menyuruh agar dibunuh Abdul
Aziz bin Musa bin Nushair di Cardova kerana merasakan dia tidak
memberikan sokongan kepada pemerintah atas sebab tertentu. Perasaan
marah berdasarkan qabilah semata-mata sehingga meminggirkan Islam itu
menyebabkan Bani Umaiyah dihancurkan oleh Bani Abbas yang membolehkan
kuasa perpindah tangan. Bani Abbas yang memiliki kuasa pemerintahan
yang baru menggantikan bani Abdul Manaf telah mengekang Bani Hasyim dan
membunuh serta membuang negeri mereka yang berketurunan Abu Tolib
kerana membalas dendam di atas kezaliman yang dilakukan oleh beberapa
pemerintah dari kalangan bani Umaiyah sebelum ini.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Perasaan
kekitaan atau semangat kebangsaan ini banyak memberi kesan yang buruk
kerana ia berakhir dengan dendam, perpecahan dan peperangan setelah
mereka mula meninggikan semangat kebangsaan sehingga mengabaikan mereka
yang bukan sebangsa atau pun mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi
sokongan kepada mereka yang berkuasa.Sedangkan jika kita menjadikan
Islam sebagai asas dalam pemerintahan maka dengan sendirinya bangsa
kita akan terjaga kebajikan dan perpaduannya kerana Islam mempunyai
sistem yang lengkap dalam mengekang kezaliman dan penindasan.
Disebabkan terlalu kuat meninggikan kepentingan bangsa menyebabkan
usaha dakwah kepada mereka bukan Islam terhenti dan terbantut yang
menyebabkan bilangan orang bukan Islam semakin ramai, ditambah pula
dengan mereka yang sebangsa semakin berani murtad. Akhirnya bilangan
bangsa Melayu semakin sedikit dan jumlah umat Islam pun turut
berkurangan. Perkara ini memberi peringatan kepada kita bahawa dengan
hanya mementingkan semangat kebangsaan sahaja sebenarnya kita
meramaikan musuh yang menyebabkan perpecahan semakin kuat berlaku.
Sebaliknya jika mementingkan Islam maka kita akan mengurangkan musuh
kerana dakwah kepada Islam semakin bertambah kuat menyebabkan bukan
sahaja bangsa kita terus tetap dalam Islam tetapi bangsa yang lain akan
turut bersama bersatu dalam Islam. Bagi mereka yang tidak memeluk Islam
pula, mereka akan terus memberi kerjasama dan merasa bahagia hidup di
bawah perlindungan keadilan sistem Islam. Di sana tiada lagi ruang
untuk berlakunya perpecahan sesama bangsa dan juga dengan bangsa lain
kerana masing-masing dapat merasakan hak mereka telah ditunaikan dengan
sebaiknya oleh Islam. Inilah ia keadilan Islam dan perpaduan yang
ditekankan oleh Islam.
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وماكان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Dan
Tuhanmu tidak sekali-kali akan membinasakan negeri-negeri secara zalim
sedangkan penduduknya merupakan mereka yang sentiasa melakukan
perubahan ke arah kebaikan.
Filed under: Kepimpinan Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan