8 Feb 2013

Firqah AnNur

  Ketika penulis menghadiri majlis Tafaqquh Fiddeen di Masjid Bukhari, Alor Malai pimpinan Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, lantunan mutiara qasidah adalah merupakan acara wajib sebelum memulakan majlis ta'lim dan kadang-kadang sewaktu Syeikhuna sedang mensantuni jiwa hadirin, itupun apabila dipinta oleh Syeikhuna sendiri. Hadirin yang hadir masing-masing tidak lokek untuk membuka mulut, bersama-sama menyumbang suara untuk memuji-muji Sayyiduna Muhammad SAW.


  Qasidah Burdah karya agung Imam al-Bushairi merupakan antara qasidah yang paling banyak dilantunkan . Ia termasuk dalam kategori qasidah masyhur. Betapa hebatnya Imam Busairi yang telah banyak mengubah umat Islam melalui qasidahnya yang menarik perhatian. Qasidah Burdah memiliki gaya bahasa yang tinggi,  ungkapan yang indah, jika dilagukan dapat mengetuk pintu hati yang tertutup, mengajak umat agar mencintai nabi yang penyayang dan penuh belai kasih sayang, didalamnya banyak mengungkapkan sifat dan kebesaran Nabi Muhammad, betapa indahnya burdah melukiskan akhlak budi pekerti Rasulullah , betapa manisnya burdah memuji perangai dan kepribadian Rasulullah.

  "Saya mencadangkan nama Nur. Ya, Firqah An-Nur. Ia membawa maksud Kumpulan Cahaya. Firqah dimaksudkan dengan kumpulan manakala An-Nur sebagai cahaya. Cahaya yang menerangi jiwa manusia dengan nasyid, selawat dan qasidah kerinduan kepada Baginda Rasul. InsyaAllah," Demikianlah saranan oleh Syeikhuna Al-Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid ketika mana penulis mendapatkan pandangan beliau untuk menamakan kumpulan qasidah kami. Untaian kalimat yang dilontarkan oleh al-Habib begitu halus dan terang. Jelas pada diri al-Habib menonjolkan akhlak yang indah mengikut moyang beliau, Sayyiduna Rasul.


  Ya, Firqah an-Nur. Tulisan penulis pada kali ini adalah sekadar nasihat kepada adik-adik penggerak Firqah an-Nur. Penulis mendapatkan cadangan nama daripada al-habib adalah supaya ada keberkahan mengalir melaluinya. Al-Habib mempunyai pertalian darah dengan Rasulillah, moga-moga keberkatannya mengalir kepada kita.

 Suka untuk penulis menarik satu untaian kata dari sahabat al-faqir, Abdul Hadi ataupun lebih dikenali sebagai Hadiey Mahadianzz. Beliau mengatakan walaupun seseorang itu tidak mempunyai suara merdu, tetapi jika seandainya dia melantunkan pujian kepada Rasul dengan hati yang ikhlas, qalbu yang bening, insyaAllah orang tetap akan tersentuh dengan qasidah tersebut.

 Benar! Kerana qasidah adalah kerana cinta bukan kerana suka-suka. Tiada keuntungannya mengejar glamour pada mata manusia tetapi hina pada pandangan-Nya, nau'zubillah. Kejarlah mardhatillah nescaya kamu akan dapat dunia dan akhirat. Jika akhirat yang menjadi buruanmu, pasti dunia akan melutut di hadapanmu.

  Semaikanlah sunnah Nabawiyyah dalam kehidupan kalian sehari-sehari. Kalian sebenarnya sedang menyebarkan warkah kesejahtera dengan mencintai Nabi kepada masyarakat. Sunnah Rasulillah bukanlah sekadar ditunjukkan melalui pakaian, tetapi yang terlebih utama adalah kalian menonjolkan dalam bentuk akhlak Ahmadiyyah dalam keperibadian kalian.
 

  Sayyid Qutb pernah berkata, 'Ketiadaan peribadi Rasulullah tidak boleh dijadikan alasan kepada kegagalan dakwah pada zaman sekarang.' Sepatutnya, kita perlulah menjadikan ketiadaan individu yang meniru peribadi Rasulullah sebagai alasan. Pemuda pemudi sekarang malu untuk mengikut keperibadian Rasul. Kalian perlu ubah perkara ini. Kalian pewaris perjuang.

Wallahua'lam.
 

29 Jan 2013

Rindu Seorang Kekasih

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ حَمْدًا لِرَبٍّ خَصَّنَا بِمُحَمَّدٍ نَوَّرَ اللهُ قُلُوْبَنَا وَإِيَّاكُمْ بِنُوْرِ مَحَبَّةِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَخِدْمَةِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَاْلعَمَلِ بِشَرِيْعَةِ وَسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ 

Puja dan puji kehadirat Allah, Tuhan yang ku dan kalian sembah. Selawat dan salam keatas panutan agung, Muhammad Rasulillah Sallallahu A'laih, penyampai risalah, yang menunaikan amanah, dan yang memimpin ummah kejalan yang diredhai Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :

'Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)' – Surah al-Ahzab, ayat 21 


 Kemeriahan sambutan Maulid Nabi masih dirasai. Masyarakat Malaysia kini sudah begitu sinonim dengan alunan selawat, qasidah dan bacaan maulid. Laungan 'Ya Hanana' meniti dari bibir anak-anak muda hinggalah kepada bibir golongan tua. Masih terkenang di fikiranku, suatu ketika dahulu apabila disebutkan 'qasidah', pasti ramai yang tertanya-tanya, 'apakah itu?'. Alunan qasidah dirasakan begitu asing apabila didendangkan. Tetapi semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini, ianya telah menjadi satu fanomena yang begitu luar biasa. Allah telah menurunkan hidayah-Nya kepada penduduk tanah bertuah ini untuk menggemari hiburan yang berlandaskan syariat Islam ini. 



 Perkara yang menjadi pokok di sini ialah kecintaan dan kerinduan kepada Junjungan Mulia, Sayyiduna Rasulillah Muhammad ibn Abdillah. Al-Imam Hassan Al-Basri berkata: 'Wahai kaum muslimin, sekiranya kayu pun boleh merindui untuk bertemu dan bersama dengan Rasulullah SAW, maka kalian sepatutnya lebih berhak untuk merindui Baginda'.



 Cuba kita semak kembali sirah Nabawi, coretan kisah perjalanan hidup Nabi dari kitab-kitab muktabar yang membicarakan mengenai kerinduan kepada Nabi. Antaranya dalam kitab Fathul Bari syarahan kepada Sahihul Bukhari karangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Imam Ibnu Hajar memasukkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Abdullah bercerita; “Dahulu Nabi SAW ketika berkhutbah pada hari Jumaat, akan bersandar pada sebuah pokok kurma, lalu seorang wanita atau seorang lelaki Ansar berkata: “Ya Rasulullah! Sudikah tuan kami buatkan untukmu sebuah mimbar? Baginda menjawab: Ya, jika kamu mahu.” Maka, mereka membuatkan untuknya sebuah mimbar. Seketika itu, terdengar tangisan yang muncul dari pokok kurma tadi, umpama tangisan seorang bayi. Baginda turun dari mimbar dan memeluknya sehingga tangisan itu reda umpama redanya tangisan seorang bayi (yakni ketika ditimang oleh ibunya). Nabi SAW bersabda; “Pokok itu menangis kerana ia terbiasa mendengar zikir di sana.'



 Pohon kurma itu menangis kerana terpaksa berpisah dengan Rasul. Ia memahami erti rindu kepada rasul. Bagaimanakan dengan kita? Pernahkah kita menitiskan air mata kerana merindui Baginda Rasul? Pernahkah kita mendambakan pertemuan atau perhimpunan bersama Nabi? Jika kita merindui dan mencintai Nabi, sejauh manakah sunnahnya yang kita amalkan? Adakah syariat Baginda telah kita perjuangkan? 

 Jadilah kita ummat yang sentiasa merindui Baginda dengan sentiasa membasahkan bibir kita dengan ucapan selawat dan salam keatas Rasul Junjungan. Janganlah kita hanya sekadar berselawat ketika datangnya Rabiul Awwal. Tetapi selawatlah pada setiap detik waktu selagi berkesempatan. Semoga Allah menghidupkan sunnah Nabawi dalam diri kita dan mengurniakan kita untuk mempunyai akhlak Muhammadiyyah. 

WaLlahu waliyyu taufiq.
Wallahu a'lam.