بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ حَمْدًا لِرَبٍّ خَصَّنَا بِمُحَمَّدٍ نَوَّرَ اللهُ قُلُوْبَنَا وَإِيَّاكُمْ بِنُوْرِ مَحَبَّةِ اللهِ
وَرَسُوْلِهِ وَخِدْمَةِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَاْلعَمَلِ بِشَرِيْعَةِ
وَسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآلِهِ وَصَحْبِهِ
وَسَلَّمَ
Puja dan puji kehadirat Allah, Tuhan yang ku dan kalian sembah. Selawat dan salam keatas panutan agung, Muhammad Rasulillah Sallallahu A'laih, penyampai risalah, yang menunaikan amanah, dan yang memimpin ummah kejalan yang diredhai Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
'Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada
diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa
susah dan senang)' – Surah al-Ahzab, ayat 21
Kemeriahan sambutan Maulid Nabi masih dirasai. Masyarakat Malaysia kini
sudah begitu sinonim dengan alunan selawat, qasidah dan bacaan maulid.
Laungan 'Ya Hanana' meniti dari bibir anak-anak muda hinggalah kepada
bibir golongan tua. Masih terkenang di fikiranku, suatu ketika dahulu apabila disebutkan 'qasidah', pasti ramai yang tertanya-tanya, 'apakah itu?'. Alunan qasidah dirasakan begitu asing apabila didendangkan. Tetapi semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini, ianya telah menjadi satu fanomena yang begitu luar biasa. Allah telah menurunkan hidayah-Nya kepada penduduk tanah bertuah ini untuk menggemari hiburan yang berlandaskan syariat Islam ini.
Perkara yang menjadi pokok di sini ialah kecintaan dan kerinduan kepada Junjungan Mulia, Sayyiduna Rasulillah Muhammad ibn Abdillah. Al-Imam Hassan Al-Basri berkata: 'Wahai kaum muslimin, sekiranya kayu pun boleh merindui untuk bertemu dan bersama dengan Rasulullah SAW, maka kalian sepatutnya lebih berhak untuk merindui Baginda'.
Cuba kita semak kembali sirah Nabawi, coretan kisah perjalanan hidup Nabi dari kitab-kitab muktabar yang membicarakan mengenai kerinduan kepada Nabi. Antaranya dalam kitab Fathul Bari syarahan kepada Sahihul Bukhari karangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Imam Ibnu Hajar memasukkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Jabir bin Abdullah bercerita; “Dahulu Nabi SAW
ketika berkhutbah pada hari Jumaat, akan bersandar pada sebuah pokok
kurma, lalu seorang wanita atau seorang lelaki Ansar berkata: “Ya
Rasulullah! Sudikah tuan kami buatkan untukmu sebuah mimbar? Baginda
menjawab: Ya, jika kamu mahu.” Maka, mereka membuatkan untuknya sebuah
mimbar. Seketika itu, terdengar tangisan yang muncul dari pokok kurma
tadi, umpama tangisan seorang bayi. Baginda turun dari mimbar dan
memeluknya sehingga tangisan itu reda umpama redanya tangisan seorang
bayi (yakni ketika ditimang oleh ibunya). Nabi SAW bersabda; “Pokok itu
menangis kerana ia terbiasa mendengar zikir di sana.'
Pohon kurma itu menangis kerana terpaksa berpisah dengan Rasul. Ia memahami erti rindu kepada rasul. Bagaimanakan dengan kita? Pernahkah kita menitiskan air mata kerana merindui Baginda Rasul? Pernahkah kita mendambakan pertemuan atau perhimpunan bersama Nabi? Jika kita merindui dan mencintai Nabi, sejauh manakah sunnahnya yang kita amalkan? Adakah syariat Baginda telah kita perjuangkan?
Jadilah kita ummat yang sentiasa merindui Baginda dengan sentiasa membasahkan bibir kita dengan ucapan selawat dan salam keatas Rasul Junjungan. Janganlah kita hanya sekadar berselawat ketika datangnya Rabiul Awwal. Tetapi selawatlah pada setiap detik waktu selagi berkesempatan. Semoga Allah menghidupkan sunnah Nabawi dalam diri kita dan mengurniakan kita untuk mempunyai akhlak Muhammadiyyah.
WaLlahu waliyyu taufiq.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan